fbpx

Lebih 10,000kg minyak sawit mentah dirampas dalam Op Palma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah sebuah lori bersama tangki IBC mengandungi minyak sawit mentah yang dirampas dalam operasi tersebut.

PETALING JAYA – Lebih 10,000 kilogram (kg) minyak sawit mentah dan 5,400 liter diesel dirampas melalui Operasi Palma (Op Palma) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (LMSM) di sekitar Rasah, Seremban, Negeri Sembilan semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi bermula pukul 8 pagi semalam itu turut berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 63 tahun serta merampas lima lori yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan oleh Unit Risikan/Operasi, JSPT Bukit Aman, dengan bantuan Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU), dan pegawai penguat kuasa LMSM.

“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan melakukan pemantauan di kawasan lapang berhampiran Jalan Bayan 1, Taman Desa Rasah, sekitar pukul 2 petang dan mengesan tiga lelaki sedang memindahkan cecair disyaki minyak sawit antara dua lori.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori pertama membawa kepada penemuan lima tangki simpanan pukal (IBC) mengandungi kira-kira 4,000kg minyak sawit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan seterusnya ke atas lori kedua pula menemui enam tangki IBC mengandungi 5,000kg minyak sawit.

“Turut ditemui ialah satu unit pam bermotor dilengkapi hos serta satu alat penimbang.

“Lebih kurang pukul 3 petang, pasukan serbuan telah dipandu arah oleh dua suspek ke lokasi lori bonded yang terlibat dalam penyeludupan minyak sawit di lokasi Jalan Bayan 5/1 Dan Lorong Bayan 4/1, Taman Desa Rasah, Seremban,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap lori yang dipandu arah oleh suspek di parkir di bahu jalan telah menjumpai empat buah IBC yang mengandungi cecair yang disyaki keluaran minyak sawit anggaran berjumlah 30kg bersama satu unit pam bermotor beserta hos di dalam lori tersebut manakala lori keempat pula 1,000kg minyak sawit bersama satu pam bermotor.

“Pada pukul 4 petang, pasukan serbuan kedua menemui lori kelima diparkir di tepi jalan berhampiran rumah kedai di Lorong Bayan 6/1 dalam keadaan mencurigakan dan berkunci tanpa pemandu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bahagian penyimpanan di belakang lori terbabit tidak berkunci dan mengandungi enam tangki IBC dengan anggaran 5,400 liter diesel,” katanya.

Susulan itu katanya, kesemua lima lori bersama muatan minyak sawit dan diesel serta peralatan mengepam telah disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.

“Keseluruhan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM207,470 merangkumi lori pertama bersama muatan (RM42,000), lori kedua dengan peralatan dan muatan (RM58,500), lori ketiga (RM33,090), lori keempat (RM26,000) dan lori kelima bersama diesel (RM47,880).

“Kesemua rampasan dan tangkapan terbabit diserahkan kepada pihak LMSM Wilayah Tengah serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 5 Peraturan-Peraturan LMSM (Pelesenan) 2005 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI