TAIPING – Menteri Pendidikan memberi jaminan siasatan telus dan menyeluruh sedang dijalankan pihak berkuasa dengan kerjasama kementerian berkaitan kes seorang pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor yang lemas baru-baru ini.
Fadhlina Sidek berkata, Unit Integriti KPM turut melaksanakan siasatan dalaman bagi memastikan tidak berlaku sebarang kecuaian atau pelanggaran prosedur operasi standard dan jika siasatan mendapati berlaku kecuaian, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat.
“Kita mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan keadilan ditegakkan. Tiada kompromi terhadap sebarang isu berkaitan keselamatan murid,” katanya selepas merasmikan Peluncuran Gerakan Massa: #terimakasihcikgu Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Terdahulu, keluarga Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful yang mati lemas di SSTMI, Johor mendakwa terdapat unsur kecuaian sehingga menyebabkan kematian arwah.
Berdasarkan makluman pihak sekolah, anaknya dipercayai lemas ketika menjalani latihan pemulihan di kolam renang terjun SSTMI sedalam lima meter.
Menurut rakan-rakan sepasukan, arwah tenggelam ke dasar kolam dan berada dalam air selama lebih kurang 15 hingga 20 minit sebelum berjaya dinaikkan oleh seorang atlet renang yang berada di lokasi kejadian.
Ketika dikeluarkan dari kolam, arwah tidak sedarkan diri serta mengalami pendarahan di mulut, hidung dan telinga. – KOSMO! ONLINE