PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan yang dilihat boleh menjejaskan kreadibiliti pengurusan fasiliti kesihatan di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan terus mempertingkat kawalan prosedur operasi standard (SOP) di semua fasiliti kesihatan.
“Kita tidak boleh ambil mudah dan akan terus mempertingkat keberkesanan dan kawalan keselamatan di semua fasiliti kesihatan awam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian World Physical Activity Day (WoPAD) Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan kononnya sepasang bayi kembar dilarikan oleh seorang ‘doktor palsu’ yang dikatakan berlaku di Hospital Kuala Lipis.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan berlaku kes kehilangan bayi kembar sebagaimana artikel bertajuk ‘Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh ‘Doktor Palsu’ di Hospital Kuala Lipis’ yang tular di media sosial.
Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Ismail Man dilaporkan berkata, kejadian itu tidak berlaku dan dianggap fitnah. – KOSMO! ONLINE