LUSAIL – Juara bertahan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Jorge Martin tekad membuktikan belum kehilangan gaya tunggangannya meskipun terlepas tiga perlumbaan Grand Prix (GP) musim ini.
Sebaliknya, pelumba Aprilia itu memberi jaminan mampu menampilkan prestasi lebih bagus daripada jangkaan ramai pada perlumbaan pertamanya, GP Qatar di Litar Antarabangsa Lusail hari ini.
Biarpun tidak menunjukkan keputusan positif daripada 34 pusingan pada ujian bebas GP Qatar, namun Martin, 27, tetap gembira dengan keseluruhan prestasinya.
“Saya mengambil banyak ubat tahan sakit, jadi tidaklah begitu teruk walaupun masih ada terasa sedikit di bahagian tulang rusuk berbanding tangan.
“Saya sedang lakukan segala-galanya meskipun akui agak bergelut. Saya perlukan sedikit masa untuk kembali dapatkan kepantasan terbaik tetapi saya tidak bimbang.
“Saya tidak kehilangan gaya tunggangan kerana siku saya masih dapat menyentuh trek. Jadi saya sangat gembira dan boleh menjangkakan sesuatu yang lebih,” kata Martin.
Martin sebelum ini terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan pramusim di Malaysia, Februari lalu menyebabkannya terlepas GP Thailand, GP Argentina dan GP Americas.
Sebagai rekod, pelumba Gresini Racing, Alex Marquez kini memimpin carta keseluruhan MotoGP dengan kelebihan satu mata ke atas abangnya, Marc Marquez yang kini mewakili Ducati. – AGENSI