PETALING JAYA – Bintang muda boling negara, Ethan Damien Goh Chen Ming membuktikan statusnya sebagai jaguh remaja apabila mempertahankan gelaran juara Kejohanan Boling Terbuka Malaysia di Sunway Megalanes, Subang Jaya, sebentar tadi.
Pada aksi final kategori remaja lelaki, Ethan mengetepikan cabaran rakan sepasukan, Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan selepas mengumpul keseluruhan 1,820 mata dalam lapan pusingan, berbanding Zarif yang mengutip 1,722 mata.
Meskipun bermula cemerlang, pemain berusia 15 tahun itu hampir dikejutkan pada pusingan terakhir apabila mencatat balingan terendahnya, hanya 147 mata, sekali gus memberikan tekanan saat akhir.
Bagaimanapun, kelebihan 98 mata hasil prestasi konsisten dalam tujuh pusingan awal menjadi penyelamat, memastikan trofi kekal miliknya buat tahun kedua berturut-turut.
Dalam saingan remaja wanita, Adania Redwan turut melakar kejayaan manis apabila muncul juara selepas menewaskan rakan sepasukan, Anis Hannani Romzi dengan kutipan 1,840 mata berbanding 1,746 mata.
Kemenangan itu menjadi permulaan cemerlang buat Adania yang kini dilihat sebagai antara prospek baharu untuk menyerlah di peringkat lebih tinggi.
Selepas menawan kategori remaja, Ethan dan Adania bakal menguji kemampuan masing-masing dalam kategori terbuka lelaki dan wanita, dengan sasaran sekurang-kurangnya layak ke pusingan akhir serta meraih tempat di podium. KOSMO! ONLINE.