PETALING JAYA – Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga seniman legenda Indonesia, Titiek Puspa yang meninggal dunia baru-baru ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di laman X berkata, Titiek Puspa telah memberikan sumbangan besar kepada dunia seni dan budaya Nusantara.
“Kenangan menonton filem ‘Tiga Dara’ bersama bonda masih segar dalam ingatan, lantas memperkenalkan saya kepada bakat dan pesona beliau.
“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Titiek Puspa meninggal dunia pada usia 87 tahun pada pukul 4.25 petang waktu Indonesia Barat Khamis lalu.
Antara lagu popular nyanyian Titiek Puspa ialah lagu Marilah Kemari dan Kupu Kupu Malam.- KOSMO! ONLINE