PETALING JAYA – Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Silam (kini Lahad Datu), Datuk Dr Salleh Kalbi yang meninggal dunia di Hospital Lahad Datu akibat jangkitan paru-paru awal pagi tadi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di laman X berkata, Allahyarham merupakan sahabatnya.
“Takziah kepada keluarga allahyarham Datuk Salleh Kalbi. Beliau dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi tadi. Datuk Salleh adalah mantan Ahli Parlimen Silam selain merupakan sahabat saya.
“Semoga keluarganya kuat dan cekal dengan ujianNya dan mendoakan agar ruh almarhum ditempatkan bersama kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Terdahulu, isteri Allahyarham Salleh, Datin Fatmah Abdul Aziz mengesahkan berita mengenai pemergianya itu.
Beliau memaklumkan bahawa Allahyarham menerima rawatan di hospital berkenaan sejak kira-kira dua minggu lalu. – KOSMO! ONLINE