RIYADH – Riyadh menegaskan bahawa jemaah umrah yang gagal meninggalkan Arab Saudi menjelang 29 April ini akan berdepan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara, lapor portal berita Daily News semalam.
Kementerian Haji dan Umrah berkata, jemaah yang tinggal lebih masa daripada tarikh ditetapkan berdepan denda tinggi, hukuman penjara dan dihantar pulang ke negara asal.
Tindakan tegas itu sebagai sebahagian persiapan menjelang musim haji dan mengelakkan penyalahgunaan visa.
“Jemaah haji yang tinggal lebih masa akan menjejaskan kelancaran dan keselamatan pergerakan,” kata seorang jurucakap kementerian itu.
Pihak berkuasa menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar untuk memantau serta menguruskan pergerakan jemaah di kota suci Mekah.
Lebih 18,000 orang telah ditahan setakat ini kerana melanggar undang-undang termasuk memasuki Arab Saudi secara haram.
Pesalah kali pertama berdepan denda 15,000 riyal (RM17,668), manakala kesalahan berulang boleh didenda 50,000 riyal (RM58,893) dan penjara enam bulan. – AGENSI