TIDAK mengira manusia, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan, air sangat penting untuk kelangsungan hidup yang membekalkan sumber nutrien penting dan membolehkan sistem badan berjalan dengan baik.
Pun begitu, hebatnya dalam penciptaan makhluk ini, ada haiwan yang mampu bertahan selama berbulan-bulan sehingga bertahun-tahun lamanya tanpa air.
Sehubungan itu, CitaRasa pada minggu ini kongsikan lima haiwan yang mampu hidup tanpa air dalam tempoh waktu yang lama seperti disenaraikan oleh Timesofindia.
1- Tikus kanggaru
TIKUS kanggaru sangat mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan padang pasir, menjadikan haiwan ini mampu bertahan dalam persekitaran gersang. Spesies tikus ini boleh hidup sepanjang hayatnya tanpa minum air dan mendapat kelembapan daripada memakan biji.
Buah pinggangnya berfungsi menghasilkan air kencing dehidrasi untuk mengurangkan kehilangan air. Tikus kanggaru juga mempunyai kantung pipi yang menyediakan tempat untuk menyimpan makanan supaya ia mempunyai bekalan khasiat berterusan. Selain itu, haiwan ini turut menggali lubang yang dalam untuk menyelamatkan diri daripada suhu melampau sambil melarikan diri dari pemangsa.
2- Katak water holding frog
SPESIES katak yang dikenali sebagai water-holding frog ini berasal dari Australia dan boleh bertahan dengan iklim kering yang panjang dengan tidur bagi tempoh yang lama sehingga hujan turun.
Ia menggali ke dalam lubang dan membungkus dirinya dengan kulitnya sendiri seperti kepompong untuk mengekalkan kelembapan di dalamnya. Katak ini boleh bertahan dalam keadaan sedemikian selama berbulan-bulan dan bahkan bertahun-tahun sehingga hujan turun kembali.
Apabila hujan, katak bangun dan mula mencari pasangan dan memburu makanan seperti serangga. Kitaran hidupnya akan terus berlangsung seperti itu.
3- Kura-kura gurun
KURA-KURA padang pasir sesuai hidup dalam keadaan kering. Ia menyimpan air dalam pundi kencing dan boleh bertahan sehingga setahun tanpa air.
Kelembapan juga datang daripada tumbuh-tumbuhan yang dimakan kura-kura terutamanya semasa musim hujan apabila terdapat pelbagai tumbuhan yang tumbuh subur. Reptilia ini juga mampu menggali lubang untuk mengelakkan haba panas. Oleh itu, ia berjaya mengekalkan kelembapan, menjadikan kura-kura padang pasir ini dapat menyesuaikan diri dengan keadaan kering yang juga merupakan habitat semula jadinya.
4- Beruang
WALAUPUN beruang secara umum memerlukan air untuk terus hidup, terdapat sesetengah spesies boleh bertahan tanpa air untuk masa lama seperti ketika hibernasi beberapa bulan. Dalam keadaan itu, lemak yang disimpan berfungsi sebagai sumber tenaga dan sumber kelembapan. Badannya juga menyesuaikan diri untuk mengekalkan metabolisme minimum yang memerlukan jumlah air sedikit. Ia boleh hidup dengan kandungan air terhad kerana mendapat sumber air daripada makanan seperti buah beri dan ikan.
5- Unta
UNTA boleh hidup seminggu tanpa minum air. Haiwan ini juga mempunyai keupayaan istimewa yang membantunya menurunkan 25 peratus berat badan melalui peluh tanpa menyebabkan badan kehilangan air.
Ia menyimpan lemak di bonggol yang dipecah menjadi air dan tenaga. Unta juga mempunyai bulu tebal yang melindunginya daripada haba yang menghalang kehilangan peluh yang banyak.