JOHOR BAHRU – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar 35 pegawai perubatan ke Myanmar susulan gempa bumi berukuran 7.9 skala Ritcher yang melanda negara itu, pada 28 Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi menampung operasi pembukaan hospital medan seperti yang dimohon kerajaan tersebut.
Katanya, lokasi hospital medan itu akan ditentukan oleh pihak kerajaan Myanmar.
“Hospital medan ini objektif operasinya untuk menjalankan dan memberi rawatan ortopedik dan trauma, menyediakan pembedahan kecemasan untuk mangsa-mangsa yang mengalami patah tulang dan sebagainya.
“Ini bagi mengurangkan risiko kecacatan kepada mangsa gempa bumi yang terjejas,” katanya selepas Majlis Perasmian BHPetrol Bandar Seri Alam dan Sambutan Aidilfitri, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, kerajaan akan menghantar hospital medan dan bantuan kemanusiaan termasuk pasukan perubatan ke Myanmar susulan gempa bumi di negara itu.
Mohamad berkata, keputusan itu dibuat setelah negara berkenaan memerlukan bantuan kerana ramai rakyat negara itu yang cedera.
Katanya, Perdana Menteri meluluskan secara dasar untuk negara menghantar hospital medan ke Myanmar seperti mana pernah diberikan kepada Turkiye sebelum ini berdasarkan keperluan rakyat negara itu yang memerlukan kemudahan serta bahan perubatan.-KOSMO! ONLINE