KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima sebanyak 221 permohonan daripada mangsa insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor bagi mendapatkan semula dokumen mereka secara percuma bermula 3 hingga 6 April lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, permohonan itu melibatkan geran pemilikan kenderaan, lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan barangan (GDL).
“Semua permohonan diproses tanpa dikenakan sebarang bayaran kecuali lima individu yang membuat pembaharuan CDL.
“Bagaimanapun, masih ada segelintir penduduk yang belum berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jalinan Muafakat Aidilfitri di Pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.
Aedy Fadly memberitahu, individu yang belum berbuat demikian boleh datang terus ke kaunter JPJ berdekatan atau Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Katanya, mangsa yang terjejas perlu mengisi maklumat penting dan alamat tempat tinggal sebelum menggantikan semula dokumen berkenaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkakn JPJ membuka kaunter bergerak di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Putra Heights bagi membolehkan mangsa menggantikan dokumen yang musnah atau hilang tanpa perlu membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE