PETALING JAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris bagi kesemua 18 kanak-kanak yang diselamatkan daripada sebuah rumah kebajikan persendirian di kawasan Batu 9, Cheras selepas disyaki menjadi mangsa penderaan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim berkata, kesemua kanak-kanak itu juga telah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan semalam oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di Hospital Kajang.
“Proses pemeriksaan telah selesai untuk 18 kanak kanak petang semalam.
“JKM sedang mengesan dan menghubungi waris-waris (kepada 18 kanak-kanak) yang ada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut, Azmir berkata, suatu perintah interim di bawah Akta Kanak Kanak 2001 akan dipohon dalam Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) pada waktu yang terdekat setelah mendapat tarikh dari Majsitret kelak.
“Laporan berhubung sosial dan pemeriksaan kesihatan 18 kanak kanak terbabit hanya boleh dibentangkan dalam MBKK kelak,” jelasnya.
Katanya, seramai 18 kanak-kanak terlibat kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan kanak-kanak yang lain untuk sementara waktu.
Terdahulu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan berkata, kanak-kanak tersebut terdiri daripada 12 lelaki dan 6 perempuan, kini berada di bawah pemantauan JKM.
Jelas KPWKM, rumah kebajikan terbabit turut diarah tutup serta-merta susulan dakwaan berlaku penderaan terhadap penghuninya. – KOSMO! ONLINE