PETALING JAYA – Universiti awam sewajarnya dapat menyediakan kolej kediaman lebih selesa berserta kemudahan asas yang diperlukan bagi memberikan persekitaran pembelajaran positif kepada pelajar.
Timbalan Presiden II, Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid berkata, kemudahan dan persekitaran yang tidak bersih dan gagal diselia dengan baik ini bukan sahaja akan memberikan kesan kepada kesihatan pelajar.
“Malah ia akan turut memaparkan imej negatif institusi pengajian tinggi terbabit itu.
“Justeru adalah dipohonkan agar pihak pengurusan universiti dapat mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada pendedahan Kosmo! menerusi laporan bertajuk ‘kolej kediaman macam rumah nenek kebayan’ baru-baru ini.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, keceriaan pelajar sebuah universiti awam di daerah Dungun untuk menyambung pelajaran semester 2 selepas cuti Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu lalu terencat apabila kolej kediaman mereka didakwa berada dalam keadaan tidak terurus dan kotor.
Bangunan premis kolej kediaman tersebut didakwa bukan sahaja usang, malah banyak kemudahan seperti bilik mandi, tandas serta kipas angin terbiar rosak serta berkulat bagai tidak pernah dicuci.
Senario itu turut menimbulkan rungutan ramai ibu bapa dan ahli keluarga pelajar terbabit yang menghantar mereka pulang ke kampus pada hujung minggu lalu. – KOSMO! ONLINE