BACHOK – Pelaksanaan tarif import timbal balik ke atas banyak negara termasuk Malaysia boleh menjejaskan hubungan dagangan dan pelaburan negara dengan China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tarif dan cukai yang tinggi itu yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat (AS) itu sekali gus memberi kesan kepada ekonomi Malaysia yang merupakan sebuah negara eksport.
Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan ekonomi kedua-dua negara terkesan meskipun tarif tersebut dikecualikan kepada Malaysia buat seketika.
“Apabila tarif tinggi dikenakan kepada China, ini bermakna hubungan dagangan dan pelaburan kita dengan negara tersebut terjejas.
“Kita ini merupakan negara eksport dan dagang. Apabila AS menetapkan tarif tinggi kepada China sudah tentu kita juga akan terkesan.
“Nasib baik AS tangguhkan tarif kepada beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia buat beberapa waktu. China bagaimanapun tetap dikenakan tarif tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama di sini hari ini.
Anwar memberitahu, sehubungan itu, Presiden China, Xi Jinping dijadual mengadakan lawatan negara ke Malaysia dalam beberapa hari lagi dan isu tarif merupakan antara perkara yang akan dibincangkan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, China mengumumkan tarikh timbal balik 84 peratus ke atas import barangan AS setara tarif tambahan dikuatkuasakan Presiden Donald Trump awal hari sama dalam senario yang menyaksikan perang tarif antara dua ekonomi terbesar dunia itu bertambah sengit.
Tarif Trump berkuatkuasa awal pada 9 April lalu dan China merupakan negara yang dikenakan tarif paling tinggi sekali gus menyaksikan cukai import keseluruhan terhadap negara berkenaan mencecah sekurang-kurangnya 104 peratus. – KOSMO! ONLINE