GOPENG – Seorang maut dan empat cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Estima dan sebuah lori tiga tan di Kilometer (KM) 308.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Kampung Jahang di sini pada pukul 4.58 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, seorang mangsa lelaki maut sementara dua mangsa dalam kenderaan Toyota Estima itu mengalami kecederaan.
“Mangsa yang belum dipastikan umur itu disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
“Sementara itu, dua lelaki masing-masing berumur 34 dan 23 tahun di lori tiga tan itu hanya cedera ringan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, semua mangsa yang cedera mendapat rawatan lanjut di hospital terdekat menggunakan ambulans sementara mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE