BUKIT KAYU HITAM – Sempadan Malaysia-Thailand di sini kembali sesak apabila rakyat Malaysia berpusu-pusu menuju ke negara gajah putih itu bagi menyambut Pesta Songkran bermula hari ini hingga Selasa depan.
Kesesakan dikatakan berlaku dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hingga ke sempadan di Danok.
Difahamkan, terdapat segelintir pengembara juga sanggup menunggu di sempadan seawal pukul 4 pagi sebelum kaunter dibuka pada pukul 6 pagi.
Seorang rakyat Malaysia, Sury Thoon, 36, berkata, ramai pengunjung dari negara ini akan menyambut pesta tersebut yang diadakan secara besar-besar.
“Danok pun sudah macam pekan Malaysia. Ramai yang menyertai pesta Songkran di sini sahaja. Lagipun nak pergi ke Bangkok takut kejadian gempa bumi macam hari itu.
“Di Hatyai pula, kalau pesta macam ini kadang-kadang jadi tidak terkawal macam sebelum ini ada yang bertindak ganas. Jadi saya dan kawan-kawan di Danok sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sury menambah, kebanyakan hotel dan inap desa di sekitar Danok juga sudah penuh ditempah meskipun harga yang dikenakan meningkat sehingga dua kali ganda.
Sementara itu, seorang rakyat Thailand, Suwit Kaewhorthong, 62, berkata, Pesta Songkran dijangka lebih meriah menjelang malam ini sehingga esok.
“Selalunya orang Malaysia tidak melepaskan peluang menyambut pesta Songkran yang diadakan secara meluas di Thailand. Kalau datang Thailand waktu ini bersedialah untuk basah,” ujarnya. – KOSMO! ONLIne