KULAI – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching berkata, sekolah swasta perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) lebih baik dalam berdepan situasi salah laku seksual.
Menurut beliau, pentadbiran sekolah menengah swasta yang terlibat dengan insiden seorang pelajar menyunting gambar lucah pelajar wanita untuk dijual di media sosial telah maklum akan perkara tersebut sejak tahun lalu.
“Mangsa maklumkan ini bukan pertama kali, sebaliknya ada insiden serupa telah dilaporkan kepada pihak sekolah sejak tahun lalu, namun tiada tindakan berkesan diambil bagi menghalangnya daripada terus berlaku.
“Saya tidak pasti sama ada sekolah swasta mempunyai SOP berdepan insiden seperti ini atau tidak, Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual seperti digunakan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh diguna pakai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Johor, di sini hari ini.
Nie Ching berkata, SOP lebih baik dapat mampu membantu pihak sekolah menangani salah laku seksual bukan sahaja melibatkan perbuatan fizikal atau verbal, tetapi juga melalui platform digital.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar memaklumkan pihaknya telah menerima 22 laporan polis berhubung kejadian tersebut setakat ini hari dengan suspek iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan reman sehingga Selasa depan.
“Kes ini terbongkar selepas seorang remaja perempuan berusia 18 tahun membuat laporan polis setelah mendapati wajahnya digunakan dalam gambar lucah yang tular di laman sosial. Suspek dipercayai menjual gambar yang telah disunting tersebut dengan harga serendah RM2 sekeping,” katanya. – KOSMO! ONLINE