PETALING JAYA – Siri Bidaah yang mengangkat tema ajaran sesat turut menarik perhatian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila beliau meluangkan masa menonton drama berkenaan.
Beliau berkata, selepas menghabiskan tontonan tersebut, terdapat dua perkara utama daripada drama berkenaan dan beliau akan mengulasnya dalam masa terdekat.
“Semalam, sukar untuk saya melelapkan mata. Entah tidak pasti sebabnya. Jadi, saya ambil keputusan untuk menonton drama yang mendapat liputan meluas di Malaysia dan negara jiran iaitu Bidaah.
“Ada dua perkara utama membuatkan saya berfikir panjang, pertama ialah kesesuaian tajuk drama ini dan kedua, gambaran keseluruhan drama yang mungkin memberi perspektif yang kurang tepat kepada orang awam tentang hakikat sebenar tasawuf dan tarekat yang murni menurut al-Quran dan al-Sunnah
Insya-Allah, saya akan ulas dengan terperinci dalam masa terdekat,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pali Yahya dan Erma Fatima berhubung penghasilan drama tersebut.
Menjawab pertanyaan orang ramai pada komen, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, ucapan tahniah tersebut adalah kerja penghasilan drama dan filem yang disifatkan bukan kerja mudah.
“Saya tak mampu. Sebahagian besar kita tak mampu. Selain itu, apa jua kaedah penyampaian sama ada salah atau betul dari sudut persepsi dan tanggapan penonton, saya yakin niatnya baik.
“Bertitik tolak dari situ, kita nilai dengan adil, bukan nilai dengan emosi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai bersabar berhubung ulasan penuh beliau berkenaan drama bersiri Bidaah.
“Sebelum ada yang beri telahan awal seolah-olah saya nak menidakkan realiti segelintir masyarakat kita yang terikut ajaran sesat, harap bersabar dan tunggu ulasan penuh saya,” katanya.
Drama Bidaah ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu dan diarahkan oleh Pali Yahya dan diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.
Drama berkenaan berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan. Walid dengan beraninya mengaku bahawa dirinya merupakan jelmaan Iman Mahdi kepada para pengikutnya. – KOSMO! ONLINE