KUALA LUMPUR – Penganjuran Rumah Terbuka Raya Mekdi di McDonald’s Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur meriah dengan kehadiran 1,500 pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Menerusi sambutan itu, kira-kira 1,500 set McDonald’s Foldover Ayam turut diedarkan kepada pengunjung secara percuma, malah pelbagai permainan menarik turut disediakan.
Program bermula pukul 5 petang hingga 9 malam itu dimeriahkan dengan kehadiran artis iaitu Nabila Razali, Sophia Liana, Ara Johari dan MK K-Clique.
Seorang pengunjung, Mohd. Rahimi Abdul Razak, 40, berkata, dia mengetahui tentang penganjuran rumah terbuka McDonald’s itu melalui Facebook.
“Saya datang bersama isteri dan dua orang anak. Tak perlu beratur lama pun, sekejap sahaja.
“Kami tinggal di Damansara Damai dan memang selalu makan di sini sebab ada mainan untuk anak-anak juga,” katanya yang juga pesara tentera.
Kakitangan swasta, Muhammad Hamdan Ahmad, 45, yang turut berkunjung bersama keluarga berkata, dia sering singgah ke restoran berkenaan kerana lokasi yang berdekatan dengan rumahnya di Sungai Buloh.
“Saya balik kerja pun selalu makan di sini. Kali ini datang dengan tiga daripada lima anak saya.
“Kami sampai sekitar jam 5.30 petang. Anak-anak memang suka sebab boleh main permainan yang disediakan. Seronoklah mereka,” katanya.
Majlis turut dihadiri oleh Naib Presiden dan Ketua Pegawai Restoran McDonald’s Malaysia, Zaid Hasman, Pengarah, Halal dan Pengurusan Risiko McDonald’s Malaysia, Ahmad Shihafudin Mustapha serta Pengarah Kanan Restaurant Solutions Group McDonald’s Malaysia, Felina Lim.
Turut diraikan ialah penghuni dan penjaga Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras
Semalam, julung kali Rumah Terbuka Raya Mekdi anjuran McDonald’s Malaysia berlangsu di McDonald’s Pantai Sentral Park.
Selain di Pantai Sentral Park, empat lokasi dipilih bagi penganjuran Rumah Terbuka Raya Mekdi.
Ia diikuti dengan McDonald’s Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur (hari ini), McDonald’s Indera Mahkota, Pahang (18 April), McDonald’s Bandar Baru Uda, Johor (19 April) dan McDonald’s Tabuan Jaya, Sarawak (26 April). – KOSMO! ONLINE