MARANG – Gara-gara sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard membuat pusingan U, seorang remaja lelaki maut di Kilometer 26.5, Jalan Kuala Terengganu – Kemaman berhampiran Alur Tuman di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 11.30 malam itu, mangsa, Muhammad Fahrin Fiqri Salleh, 17, yang merupakan pembantu kedai meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Fahrin dikatakan dalam perjalanan pulang rumahnya di Pulau Kerengga di sini.
“Pada masa sama, sebuah kenderaan Toyota Alphard dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dikatakan membuat pusingan U dari sebelah kiri laluan tersebut.
“Motosikal Yahama 135LC ditunggangi mangsa gagal mengelak lalu merempuh kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Sofian berkata, impak perlanggaran tersebut menyebabkan Muhammad Fahrin terjatuh ke jalan raya.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan remaja berkenaan telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE