TAPAH – Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan kononnya wujud tindakan boikot oleh Pemuda UMNO Bahagian Tapah terhadap Mohamad Yusri Bakir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang pergeseran berlaku membabitkan calon BN dan Ketua Pemuda UMNO Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi.
“Tidak ada (dakwaan boikot oleh Pemuda UMNO) kerana dia (Fahmi) ada dalam setiap mesyuarat yang diadakan di peringkat negeri atau bahagian.
“Insya-Allah, jentera mereka (Pemuda UMNO Tapah) akan memberi dokongan sepenuhnya kepada Mohamad Yusri sebagai calon di DUN Ayer Kuning,” katanya pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah, di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan memboikot Mohamad Yusri pada PRK DUN Ayer Kuning meskipun calon daripada Pemuda tidak terpilih untuk PRK berkenaan.
Sementara itu, ditanya mengenai isu yang akan dimainkan calon lawan, Ahmad Zahid menjangkakan isu di peringkat nasional akan menjadi bahan kempen pihak lawan untuk menarik sokongan pengundi. – KOSMO! ONLINE