TAPAH – Suasana pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Dewan Merdeka di sini tenang dengan penyokong parti bertanding mula memenuhi kawasan yang disediakan pihak berkuasa.
Laluan utama di Jalan Raja yang terletak kira-kira 200 meter dari pusat penamaan telah ditutup seawal tengah malam tadi.
PRK DUN Ayer Kuning dijangka menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).
BN menamakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri Baki, 54, sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.
Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu dijangka menentang bakal calon Perikatan Nasional (PN), Ustaz Abdul Muhaimin Malek, 44, yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Tapah.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40, pula dipilih sebagai calon mewakili parti tersebut pada pilihan raya kecil kali ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Ishsam yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town. – KOSMO! ONLINE