IPOH – Beberapa kepimpinan Kerajaan Perpaduan tiba di Arena TN 50 Tapah bagi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Antaranya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming dan Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.
Turut hadir memberi sokongan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Setiausaha Agung UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengarah Pilihan Raya DAP Pusat, Wong Kah Woh, Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Penyokong calon Kerajaan Perpaduan mula berkumpul di Arena TN 50 Tapah seawal pukul 7 pagi manakala penyokong Perikatan Nasional (PN) pula berkumpul di Surau Asyakirin, Jalan Damai.
PRK DUN Ayer Kuning dijangka menyaksikan pertembungan antara calon BN dengan PN serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Abdul Muhaimin Malek, 44 mewakili gabungan PN sementara BN diwakili Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, dan Bawani KS, 40, dari PSM. – KOSMO! ONLINE