TAPAH – Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40, hadir di pekarangan pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Dewan Merdeka di sini dengan menaiki sebuah traktor sebagai simbol perjuangan parti itu.
Bawani yang diiringi kira-kira 50 penyokong parti itu tiba pada pukul 9.10 pagi tadi bersama penyokong dan pencadangnya iaitu Lim Pak Seng, 63, dan seorang lagi wanita, R. Thilagammal, 50.
PSM memperjuangkan golongan bawahan terutamanya petani yang didakwa tertindas. Ini percubaan ketiga peguam dan aktivis masyarakat itu.
Pada PRU15 lalu, Bawani bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning dalam pertembungan lima penjuru yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning berlangsung hari ini turut dihadiri dua calon lain iaitu Abd. Muhaimin Malek, 44, mewakili gabungan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pula diwakili Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54. – KOSMO! ONLINE