GUA MUSANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang bertembung sebuah treler di Kilometer 37, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Shazrul Shamsul, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, sebuah treler jenis Volvo dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Kuala Krai.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai masuk ke laluan bertentangan.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa bertembung dengan treler tersebut. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat,” katanya hari ini.
Choon Foo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE