JOHOR BAHRU – Remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki menyunting gambar lucah menggunakan wajah mangsa dan mengedarnya di media sosial untuk dijual kepada orang awam disambung reman sehingga Selasa depan.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, tempoh reman asal telah tamat hari ini, namun ia disambung bagi membantu siasatan dijalankan.
“Setakat hari ini, sebanyak 22 laporan polis telah diterima berhubung perbuatan tersebut, manakala motif suspek berbuat demikian masih dalam siasatan,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, Kumar memaklumkan remaja tersebut yang masih bersekolah menjual gambar yang disunting itu dengan harga serendah RM2 sekeping.
Katanya, suspek menyunting gambar tersebut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) berdasarkan gambar-gambar mangsa yang diperoleh daripada akaun media sosial mereka.
“Kes ini terbongkar selepas seorang remaja perempuan berusia 18 tahun membuat laporan polis apabila mendapati wajahnya digunakan dalam gambar lucah yang tular di laman sosial,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching mendedahkan seramai kira-kira 40 individu dipercayai menjadi mangsa penyebaran gambar lucah palsu tersebut. – KOSMO! ONLINE