PETALING JAYA – Seorang pelajar perempuan tingkatan satu didakwa dibuli pelajar senior dengan diugut akan dicalit ‘pad’ atau tuala wanita kotor pada mukanya selain ugutan dijolok kemaluan.
Kisah itu diceritakan oleh ibu pelajar tersebut dikenali sebagai Linda menerusi panggilan dikongsikan sebuah radio.
“Anak dibuli masa masuk tingkatan satu. Memang teruk dan saya ada buat laporan polis sebab ia melibatkan mental dan emosi.
“Saya tak dapat info apa-apa berkenaan anak sebab anak tak ‘call, tak ada apa semua kan. Lepas itu ada satu ibu mesej dan dia tanya anak Linda nama apa, saya maklumkan nama anak sekian, sekian.
“Dia kata anak bagitahu ada budak kena buli dekat asrama. Dia diugut nak letak ‘pad’ (tuala wanita) kotor, nak calit ‘pad’ kotor pada muka dengan yang paling teruk sekali diugut untuk jolok kemaluan,” katanya pada perbualan tersebut.
Wanita itu berkata, selepas melaporkan kepada polis, pegawai penyiasat kemudian ke asrama tersebut untuk menyiasat perkara berkenaan.
“Pegawai penyiasat terus ke asrama dan panggil sebab warden cakap anak saya tipu. Panggil semua suspek.
“Polis tu kata, ‘ok puan, dia orang mengaku memang buat pada anak puan’,” katanya.
Wanita itu berkata, pelaku tersebut adalah pelajar perempuan tingkatan lima yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.
“Suami keluarkan anak dan tak nak ambil tahu dah hal sekolah tersebut,” katanya mengakhiri cerita. – KOSMO! ONLINE