fbpx

Nur Azmi sandar pengalaman lebih 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR AZMI akan bersaing dengan Awalan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden MOM bagi penggal 2025-2029.

KUALA LUMPUR – Atas rasa tanggungjawab untuk menaikkan martabat sukan tanah air, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad mengambil keputusan merebut jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Justeru, beliau akan meletakkan sandaran terhadap pengalaman luas lebih 30 tahun dalam arena sukan kerana pernah bergelar sebagai atlet serta pentadbir di peringkat kebangsaan dan serantau.

Nur Azmi berkata, selaku bekas pemain hoki, beliau memiliki pemahaman cukup mendalam terhadap cabaran yang dihadapi atlet sama ada dalam atau luar gelanggang, sekali gus mahu menjadi penghubung antara atlet dan pentadbir sukan.

“Objektif saya adalah supaya sukan kita ini menyumbang pingat kepada negara, bukan untuk kepentingan diri. Kalau saya dipilih, saya mahu pastikan sukan yang bertanding di Sukan SEA, Asia atau Olimpik dapat membuat persiapan lebih rapi.

“Bila ada kekosongan dan perlu membantu, saya akan masuk. Saya rasa sudah tiba masa untuk memainkan peranan lebih besar. Saya pernah bersama sukan hoki sebagai pemain dan pentadbir manakala kini bersama karate dan bola sepak Melaka,” katanya.

Sebagai rekod, beliau boleh dianggap antara figura popular dalam arena sukan negara kerana pernah memegang beberapa jawatan penting dalam badan sukan lain seperti Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Dalam pada itu, Nur Azmi juga merupakan pemilik Kelab Bola Sepak Melaka FC yang baru sahaja muncul juara saingan Liga A1 Semi-Pro Februari lalu.

Selaku Presiden MAKAF pula, beliau memainkan peranan cukup penting bagi membantu atlet meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa termasuk Muhammad Arif Afifuddin Malik yang memenangi pingat emas kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Sementara itu, Nur Azmi yang turut menyandang jawatan Naib Presiden Persekutuan Karate ASEAN menjadi pencetus terhadap penubuhan Akademi Karate Negara dan ASEAN di Jasin, Melaka yang bakal memulakan operasi Mei nanti.

Ketika menggalas tugas sebagai ketua kontinjen (CDM) negara pada Sukan SEA Vietnam 2021, beliau berjaya mengemudi Malaysia membawa pulang 39 pingat emas, 45 perak dan 89 gangsa.

Menjelang pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM 19 April ini, Nur Azmi bakal dicabar Datuk Awalan Abdul Aziz yang merupakan Presiden Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI