WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menganjurkan cabaran mencari idea terbaik untuk mengitar semula sisa kumbahan angkasawan di angkasa lepas, lapor agensi berita United Press International.
Projek digelar ‘LunaRecycle’ itu menyeru orang ramai untuk menghasilkan teknologi bagi mengitar semula bahan buangan termasuk najis, air kencing dan muntah.
Sasarannya adalah untuk mengelakkan penambahan kepada simpanan kumbahan di angkasa lepas.
Menurut NASA, kira-kira 96 beg berisi kumbahan ditinggalkan di Bulan oleh angkawasan semasa misi Apollo.
“Teknologi yang dipilih akan digunakan pada misi angkasa lepas akan datang termasuk pos jangka panjang Bulan.
“NASA komited untuk penerokaan angkasa lepas yang mapan. Sebagai persediaan untuk misi angkasa lepas di masa hadapan, akan ada keperluan untuk meminimumkan sisa kumbahan.
“Ia termasuk bagaimana sisa boleh disimpan, diproses dan dikitar semula dalam persekitaran angkasa lepas dan tiada perlu dikembalikan ke Bumi,” kata NASA.
Cabaran itu menawarkan hadiah lumayan AS$3 juta (RM13.4 juta) kepada individu atau pasukan mengemukakan idea terbaik. – AGENSI