fbpx

Malaysia cari jalan baharu hadapi kenaikan tarif AS – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
.Anwar (gambar) ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, petang tadi.

SEBERANG PERAI – Malaysia tidak akan mengeluh dan mengalah dalam menghadapi kesan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) sebaliknya akan mencari jalan baharu dalam mendepani kemelut ekonomi tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan menggunakan kekuatan dan hubungan baik dengan AS, Eropah dan China serta negara-negara jiran ASEAN.

“Saya sudah hubungi semua kawan-kawan di negara ASEAN. Semuanya berpakat. Mereka kata akan teruskan usaha, cari jalan atas nama dan semangat ASEAN, 10 negara ASEAN.

“Ini sangat baik. Jadi kita bukan gerak sebagai Malaysia, kita gerak sebagai satu kekuatan. Jadi kita berpakat tumpu bangunkan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu yang Pulau Pinang telah menyuarakan kebimbangan berhubung tarif yang dikenakan memandangkan industri eksport semikonduktor melebihi RM200 bilion dan 60 peratus daripadanya adalah ke AS.

“Saya telah menasihati Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa dalam setiap cabaran, setiap krisis, kita boleh merungut dan menyerah kalah atau kita boleh kumpulkan tenaga untuk mencari penyelesaian, kita perlu cari jalan untuk bangkit.

“Tapi syaratnya kita mesti jadi contoh baik. Malaysia mesti aman, ekonomi mesti stabil, dasar ekonomi mesti jelas, rakyat mesti gigih bekerja dan perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

“Amalan-amalan buruk, kemalasan, lambat kelulusan, rasuah itu mesti kita hentikan,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari yang diumum Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi kelegaan sementara kepada Malaysia.

Malaysia adalah antara 75 negara yang diberi penangguhan itu oleh pentadbiran Trump. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI