SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat meletakkan kepentingan dan kekuatan dalam mengukuhkan keamanan negara sekali gus melahirkan hubungan yang lebih harmoni.
Beliau berkata, tidak banyak negara yang mempunyai kepelbagaian kaum seperti Malaysia sehingga ia boleh mencatatkan rekod tersendiri.
“Orang Islam bersama dengan Cina, India dan orang asli hidup dalam keadaan yang sangat aman, penuh rasa kasih sayang dan hormat-menghormati. Tahniah rakyat Malaysia semua.
“Ini membuktikan apa? Ini membuktikan bahawa rakyat, di peringkat rakyat, keadaan hubungan kaum itu baik. Kita tidak ada ketegangan dan tidak merasakan itu.
“Masalahnya hanya apabila tokoh-tokoh politik yang sudah bankrup idea, dia hasut supaya benci satu sama lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini, petang tadi.
Menurut beliau lagi, Pulau Pinang antara negeri yang boleh dijadikan sebagai contoh dalam menyatukan hubungan pelbagai kaum.
“Mana ada negara dengan masyarakat berbagai kaum, yang boleh menjaga keharmonian. Sebab itu kita salute orang Pulau Pinang, kita salute rakyat Malaysia.
“Kalau kita tengok hari ini, beberapa ribu orang Melayu, beberapa ribu orang Cina, beberapa ribu orang India, makan satu meja dan tidak ada rasa iri hati atau permusuhan.
“Saya minta rakyat lihat kepentingan kita dan kekuatan kita. Kerana tidak banyak negara pelbagai kaum yang boleh catat rekod seperti Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyuarakan gesaan kepada rakyat negara ini supaya menumpukan pembangunan dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara.
“Kalau ditanya, untuk apa kita berpakat bersatu? Kerana politik ini stabil, rakyat berbagai kaum bersama-sama, kita tumpu pembangunan.
“Maka kita catat pertumbuhan ekonomi yang baik di Pulau Pinang. Jadi pusat semikonduktor, Pulau Pinang, Kulim, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Jadi kita lihat perkembangan di Selangor dan sekarang di Sarawak, dengan peralihan tenaga, hidrogen, gas dan di Sabah, dengan terjadi ekonomi biru mereka,” tambahnya.