SELAYANG – Hasrat Terengganu untuk menamatkan Liga Super musim ini sekurang-kurangnya di tangga keempat tidak terlaksana apabila tewas 0-1 kepada PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Penjaga gol tuan rumah, Nor Hakeem Hamidun berjaya memainkan peranan besar buat The Cops selepas cemerlang menafikan banyak percubaan menarik daripada jentera serangan pelawat yang diketuai Safawi Rasid.
Terdahulu, Terengganu dilihat pasukan yang lebih baik di babak pertama namun beberapa gerakan menarik yang dicipta sering digagalkan oleh Nor Hakeem.
Hanya tiga minit selepas babak kedua bersambung, skrip perlawanan akhirnya berubah selepas Mohammad Imran Samso bijak meloloskan diri sebelum melakukan penyudah dengan baik untuk merobek gawang Terengganu.
Minit ke-60, gawang pelawat sekali lagi dirobek oleh Bruno Suzuki namun bernasib baik apabila gol berkenaan dibatalkan selepas bintang import PDRM FC itu terlebih dulu dikesan berada di kedudukan offsaid.
Selang tujuh minit kemudian, nasib malang Terengganu seakan berterusan apabila percubaan Akhyar Rashid sekadar menggegar palang gol sebelum pengendali pasukan, Badrul Afzan Razali memasukkan Ismaheel Akinade bagi pertajamkan jentera serangan.
Kemasukkan Akinade mampu menampakkan hasil positif tetapi barisan pertahanan PDRM FC dan Nor Hakeem nyata lebih bersedia untuk melakukan tugasan bertahan.
Berbaki satu lagi perlawanan, Terengganu kini hanya mampu meraih 32 mata, tidak lagi mampu mengatasi kutipan 36 mata Kuching City di tempat keempat. – KOSMO! ONLINE