SKUAD Kelantan Darul Naim (KDN) FC perlu rombak sepenuhnya pada musim depan selepas mengalami kekalahan memalukan 0-9 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Pasukan Kijang Emas kendalian Rezal Zambery Yahya dilihat kurang bermaya apabila membiarkan penyerang sensasi JDT, Bergson Da Silva merobek gawang dengan meledak lima gol selain tambahan jaringan menerusi Romel Morales (dua gol), Shahrul Saad dan Safiq Rahim.
Kekalahan tersebut hampir mengulangi pencapaian terburuk bekas pasukan gergasi Pantai Timur, Kelantan FC pada tahun lalu yang tewas 0-10 kepada JDT di venue yang sama bagi aksi Piala Malaysia.
Menerusi tinjauan Kosmo! di laman rasmi Facebook Kelantan Darul Naim Football Club, rata-rata peminat setia itu menghantar komen peringatan kepada pihak pengurusan untuk tidak memalukan nama ‘Kelantan’ dan dibubar pada masa akan datang.
Aiman Bin Mohd Azmi berkata, “Bubar2 je la..buat team pun xleh bayar gaji xguno jugop..”
Matt Aje pula berkata “Dalam hati jujur malu dengan pasukan yg masih berstatus negeri ,,atau pasukan bolasepak yang paling digeruni satu ketika dahulu tapi standards dia dah jatuh sudah.”
Kata Wardi Rizal, “admin kalu ada hati perut lagi bubar2 je la wt malu muka maruah jah.”
Muhammad Akid Dzulkarnain turut menghantar komen, “Owner club ni x braso malu ko setiap game keno lebih 5 gol…xdk prasaan molek..”
Meskipun menduduki tangga tercorot saingan Liga Super dengan 19 kekalahan, skuad KDN FC dijangka kekal beraksi pada kempen musim depan kerana tiada penyingkiran yang dilakukan oleh pengelola, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim ini.