fbpx

Liga M: Bergson hampiri rekod Indra Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERGSON meledak lima gol ketika menentang KDN sekali gus berjaya mengumpul 31 jaringan setakat musim ini.

JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memuji impak yang dipamerkan oleh penyerang sensasi, Bergson Da Silva selepas meledak lima gol untuk menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam aksi Liga Super 9-0 kelmarin.

Menurut Bidoglio, penyudah yang ditampilkan oleh penyerang import dari Brazil itu cukup tajam sehingga berjaya memecahkan rekod penjaring terbanyak semusim liga berprestij itu dengan 31 gol keseluruhan.

“Apabila pasukan memerlukan penyerang yang bekerja keras dan kerap beri tekanan terhadap benteng lawan, Bergson bersedia memikul tugas itu.

“Malah, dia turut cemerlang bermain secara berpasukan apabila membentuk gerakan dengan Jese Rodriguez ketika membantu Romel Morales menjaringkan dua gol,” katanya.

Bergson yang kini berusia 34 tahun memadamkan rekod yang dilakar pada musim 2022 apabila meledakkan 29 gol dalam saingan Liga Super.

Lebih menarik, Bergson yang menjaringkan 104 dalam saingan liga kini hanya dibezakan dua jaringan dengan legenda bola sepak negara, Indra Putra Mahayuddin yang sebelum ini unggul dengan 106 jaringan.

Mengulas lanjut, Bidoglio turut memuji semua pemain yang tampil konsisten dalam saingan Liga Malaysia musim ini ketika saingan berbaki satu perlawanan.

“Pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi biarpun berdepan kelab yang bergelut bagi memastikan tiga mata berada dalam genggaman. Mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik.

“Kesungguhan ini yang dituntut daripada setiap pemain dari awal musim lagi, dan mereka berjaya membalas kepercayaan yang diberikan sebaiknya. Walaupun berdepan perjalanan liga panjang, pemain kekal konsisten,” ujarnya.

Skuad Harimau Selatan akan menentang Kuching City pada aksi terakhir Liga Super, Rabu depan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI