WARSAW – Chelsea meraih bekalan cukup selesa pada aksi suku akhir pertama Liga Konferens Europa selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Legia Warsaw di Stadium Polish Army awal pagi semalam.
Meskipun menampilkan aksi cukup hambar di separuh masa pertama, namun The Blues mempamerkan kebangkitan selepas waktu rehat untuk meledak tiga gol menerusi dua jaringan Noni Madueke dan satu gol Tyrique George.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca berkata, kemenangan itu sangat penting buat pasukannya selain boleh menjadi pengajaran berguna apabila berdepan lawan yang ‘berkampung’ dalam kawasan sendiri.
“Saya gembira kerana kami dapat menampilkan aksi yang jauh lebih baik di separuh masa kedua. Ia bukanlah perlawanan yang mudah kerana suasana yang dicipta penyokong lawan memberi tekanan kepada kami.
“Kami sangat lega kerana dapat membawa pulang bekalan selesa. Saya sentiasa cakap bahawa kami perlu sentiasa menggunakan pendekatan berbeza dalam setiap perlawanan, terutamanya apabila berdepan pasukan mengamalkan taktik bertahan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji aksi George dan Josh Acheampong selepas kedua-dua produk akademi berkenaan mempamerkan corak permainan cukup matang selain mampu bermain lebih satu posisi. – AGENSI