LYON – Kesilapan individu dilakukan penjaga gol, Andre Onana menjadi punca Manchester United sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Olympique Lyon pada suku akhir pertama Liga Europa di Parc Olympique Lyonnais awal pagi semalam.
Penjaga gol Cameroon itu dijangka berdepan kecaman hebat selepas melabelkan United sebagai pasukan yang jauh lebih baik berbanding Lyon, namun dia menjadi punca terhadap dua gol dijaringkan tuan rumah.
Bagaimanapun, Pengurus United, Ruben Amorim tampil mempertahankan anak buahnya itu apabila menganggap dua gol yang dilepaskan Onana bukanlah kesilapan individu, sebaliknya melibatkan satu pasukan.
“Apabila seseorang pemain melakukan kesilapan, sebenarnya ia merupakan kesilapan yang dilakukan oleh satu pasukan. Kami tidak pernah meletakkan kesalahan ke atas mana-mana individu.
“Memang kecewa apabila melepaskan gol pada saat-saat akhir kerana kami sepatutnya pulang dengan kelebihan satu gol. Selepas ini, kami akan cuba memenangi perlawanan di laman sendiri,” katanya.
Pada perlawanan itu, United menjaringkan gol menerusi Leny Yoro dan Joshua Zirkzee, manakala dua gol Lyon dijaringkan Thiago Almada dan Rayan Cherki.
Gol pertama Lyon terhasil apabila Onana gagal menepis keluar sepakan percuma dilakukan Almada sebelum membenarkan Cherki untuk menyamakan kedudukan ketika perlawanan memasuki masa kecederaan.
“Kami akan terus bekerja keras seperti biasa. Selepas ini, kami perlu melakukan analisis dalam latihan dan memilih kesebelasan utama terbaik untuk aksi timbal balik di Old Trafford,” ujar Amorim. – AGENSI