PETALING JAYA – Op Selamat 24 merekodkan sebanyak 9,859 kes kemalangan jalan raya yang dilaksanakan sempena Hari Raya Aidilfitri dari 29 Mac hingga 3 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah tersebut meningkat kira-kira empat peratus berbanding 9,451 kes pada tahun lalu.
Katanya, jumlah kenderaan berdaftar yang semakin bertambah mencecah lebih 36.6 juta menyumbang kepada peningkatan jumlah kenderaan terlibat kemalangan melibatkan 2,051 kenderaan berbanding 1,973 pada tahun lalu.
“Dalam tempoh itu, sejumlah 91,727 saman telah dikeluarkan di seluruh negara dan angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 1,087 saman bersamaan satu peratus berbanding 90,640 saman, tahun lalu.
“Sikap dan amalan pemanduan yang tidak berhemah serta tidak mematuhi peraturan lalu lintas semasa musim perayaan menjadi faktor peningkatan tindakan saman dikenakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Op Selamat 24 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini semalam.
Bagaimanapun, menurutnya, jumlah kemalangan maut mencatatkan penurunan 41 peratus dengan 77 kes berbanding tahun lalu, iaitu 131 kes.
Katanya, turut berkurangan adalah jumlah kematian akibat kemalangan iaitu 59 kematian berbanding 144 kematian pada tahun lalu.
“Penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal sebagai penyumbang tertinggi angka korban dalam Op Selamat 24.
“Sejumlah 52 kematian penunggang dan pembonceng motosikal direkodkan, berbanding 93 kematian pada tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, kempen Op Selamat juga memberi penekanan kepada aspek keselamatan harta benda dan premis yang ditinggalkan.
Ayob Khan berkata, sepanjang tempoh terbabit, sejumlah 12,773 pemakluman ‘balik kampunh’ diterima berbanding 10,869 pada Aidilfitri tahun lalu.
“Secara keseluruhan sejumlah 76,274 rondaan telah dijalankan sepanjang tempoh kajian, meningkat 27 peratus berbanding 55,837 rondaan semasa edisi sebelumnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE