fbpx

Kebakaran paip gas: Selangor gerak operasi pembersihan besar-besaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin meluangkan masa beramah mesra bersama para sukarelawan yang terlibat dalam Ops Mega Pembersihan di Putra Heights hari ini.

SUBANG JAYA – Seramai 4,600 kakitangan kerajaan negeri Selangor dan sukarelawan digerakkan dalam Ops Mega Pembersihan susulan insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, baru-baru ini.

Operasi besar-besaran selama dua hari itu dianjurkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen) serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Ia turut melibatkan penyertaan 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan 264 unit jentera serta kenderaan berat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika merasmikan program itu berkata, inisiatif itu menjadi bukti solidariti dan semangat kebersamaan dalam membantu mangsa tragedi yang terjejas akibat bencana tersebut.

“Hari ini kita saksikan satu usaha besar-besaran digerakkan demi membantu mangsa tragedi Putra Heights.

“Inilah budaya yang harus kita kekalkan semangat prihatin, gotong-royong dan kebersamaan sebagai satu komuniti,” katanya dalam ucapan pelancaran, hari ini.

Tambah beliau, penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi keselamatan, PBT dan NGO menggambarkan iltizam bersama kerajaan negeri dalam proses pemulihan pasca bencana.

Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), KDEB Waste Management (KDEBWM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), SWCorp serta syarikat konsesi seperti Alam Flora, Southern Waste dan E-Idaman.

Kawasan pembersihan yang berlangsung itu dibahagikan kepada empat sektor utama iaitu sektor A, B, C dan D membabitkan kawasan kediaman yang telah disahkan selamat oleh pihak berkuasa teknikal seperti JBPM dan JKR.

Dalam pada itu, orang ramai turut diseru agar sentiasa peka terhadap sebarang arahan pemindahan dan pemulihan, serta mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi sepanjang operasi dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI