PETALING JAYA – Ketika bergelar Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad menanam satu kapsul masa yang dikenali sebagai Kapsul Masa Wawasan 2020 pada tahun 1996.
Rata-rata kanak-kanak pada era tersebut yang kini menginjak separuh usia ternanti-nanti apakah sebenarnya isi atau masej yang ditulis sendiri oleh negarawan terulung negara itu yang telah berusia genap 100 tahun.
Pemikiran serta Wawasan 2020 yang dilaungkan oleh bekas Perdana Menteri dua kali itu cukup menebal sehingga ada yang terbayangkan kemungkinan kereta terbang bakal sibukkan bandar raya Kuala Lumpur pada abad ini.
Tun M yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 itu, merupakan watak penting dalam arus permodenan negara kerana berjaya mengeluarkan Malaysia daripada negara dunia ke-3 kepada negara industri apabila memperkenalkan jenama kereta nasional Proton dan usaha-usaha beliau dalam memajukan negara selama ini.
Orang ramai ternyata teruja apabila kapsul tersebut bakal dibuka semula oleh Tun M pada esok di Menara Kuala Lumpur.
“Orang lain aku tak pasti, tapi kalau aku yang lahir 80an ni memenag teruja nak tengok apa yang Tun M tulis. Aku membesar pada era dia memerintah, perasaan bangga naik Proton Saga arwah abah aku pada masa tu aku tak boleh nak cerita.
“Aku sampai sekarang tak percaya Malaysia dah ada menara berkembar tertinggi pada tahun 90an. Dubai sekarang baru ada,” kata Mad Jakar.
“Insya-Allah aku nak pergi sendiri ke Menara KL esok. Aku nak tengok secara ‘live’,” kata Siti Mahanum. – KOSMO! ONLINE.