fbpx

Kampung Kuala Sungai Baru cabaran utama Ops Pembersihan – Amirudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ketika melancarkan Ops Mega Pembersihan Letupan Paip Gas di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK

SUBANG JAYA – Keadaan perumahan yang tidak terancang menjadikan Kampung Kuala Sungai Baru sebagai lokasi paling mencabar dalam misi pembersihan pasca tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berbanding kawasan perumahan lain seperti Taman Putera Heights dan Putra Harmoni yang tersusun serta dibangunkan secara sistematik.

Katanya, Kampung Kuala Sungai Baru dibina secara berperingkat oleh penduduk sejak beberapa dekad lalu tanpa pelan pembangunan rasmi.

“Susun atur tidak sistematik serta pelbagai struktur binaan menyukarkan pasukan penyelamat dan sukarelawan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Malah, pasukan hanya dibenarkan masuk ke kampung ini dua hingga tiga hari lalu selepas menerima kebenaran daripada pihak polis dan pihak bomba atas faktor keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Mega Pembersihan di sini, hari ini.

Tambah beliau, kawasan kampung itu turut dikenal pasti sebagai antara lokasi yang mengalami kerosakan paling serius dengan sebahagian struktur rumah tidak lagi selamat untuk dimasuki.

“Ketika ini, kerja-kerja pembersihan hanya dijalankan di luar rumah dan kawasan sekitar.

“Jika ada permintaan daripada pemilik, barulah pasukan masuk untuk membantu di dalam rumah,” jelasnya.

Amirudin turut menjelaskan keutamaan diberikan kepada pembersihan serpihan tanah, batu dan sisa bangunan yang terlempar dari zon letupan utama.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan operasi pembersihan di kawasan kampung itu akan mengambil masa lebih lama berbanding kawasan lain yang lebih teratur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI