JAKARTA – Sebuah keluarga di Indonesia terpaksa menghantar jenazah ahli keluarganya dengan menggunakan trak pikap selepas ambulans milik hospital kehabisan petrol dan berdepan masalah ketiadaan pemandu, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Martapura, wilayah Sumatera Selatan.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @palembangterkini.official menunjukkan jenazah itu dibawa menggunakan trak pikap.
Mereka berbuat sedemikian selepas menunggu pemandu ambulans melebihi satu jam.
“Jenazah diletakkan di dalam ambulans tetapi kenderaan itu kehabisan petrol. Bukan itu sahaja, pemandu juga tiada. Ini sangat mengecewakan kami,” kata perakam.
Direktor RSUD Martapura, Dedy Damhudy meletak jawatan sebagai memikul tanggungjawab susulan nsiden tersebut.
Beliau juga memecat pegawai yang bertanggungjawab dan pemandu ambulans yang lalai dalam menjalankan tugas. – AGENSI