MELAKA – Seorang wanita dan anak lelakinya berusia enam tahun terpaksa menahan sakit selepas jari telunjuk masing-masing tersepit di rantai sebuah basikal, di Taman Merlimau Permai, di sini pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Sufian Abu Bakar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.39 pagi tadi.
Katanya, sepasukan lima anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi dan tiba empat minit kemudian.
“Setiba di lokasi kita dapati terdapat seorang wanita berusia 32 tahun bersama anaknya enam tahun telah tersepit jari telunjuk di rantai basikal.
“Jari mangsa berjaya dikeluarkan kurang lima minit dan mereka dihantar ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, pihaknya dimaklumkan kejadian berlaku ketika kanak-kanak tersebut teruja membelek basikal baharu yang dibelikan oleh ayahnya.
“Basikal itu baru sahaja dibelikan oleh ayahnya dan belum sempat digunakan lagi.
“Ketika seronok membelek basikal, tiba-tiba jari telunjuk kanak-kanak itu tersepit dan ibunya cuba membantu namun jarinya juga tersepit,” ujarnya.