MANCHESTER – Pasukan Manchester City mempamerkan aksi lima bintang selepas melakar kemenangan 5-2 ke atas Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Etihad itu, skuad tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal Palace yang dilakukan oleh Eberechi Eze seawal minit ke-8.
Momentum tersebut diteruskan apabila The Eagles menggandakan kelebihan menjadi 2-0 berselang 13 minit kemudian.
Tersentak dengan jaringan tersebut, City memperkemaskan jentera serangan dan berjaya merapatkan kedudukan hasil sepakan percuma Kevin de Bruyne pada minit ke-33.
Pemain baharu City, Omar Marmoush mempamerkan penyudah berbisa apabila menyamakan kedudukan menjadi 2-2 sebelum wisel penamat babak pertama ditiupkan.
Bersambung pada separuh masa kedua, City bagai ‘naik gila’ apabila menambah dua lagi jaringan di awal saingan menerusi penyudah Mateo Kovacic (m-47) dan James McAtee (m-56).
Kemenangan dramatik skuad kendalian Pep Guardiola dilengkapkan oleh jaringan pemain gantian, Nico O’Reiley pada minit ke-79 dengan keputusan 5-2 kekal hingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan City meraih 55 mata selepas mengharungi 32 perlawanan manakala Palace kekal dengan 43 mata. – AGENSI