MANCHESTER – Manchester City terdesak untuk kembali berada di landasan kemenangan dalam usaha berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang aksi bertemu Crystal Palace di Stadium Etihad malam ini.
Pengendali The Citizens, Pep Guardiola mengakui pasukannya tidak boleh lagi keciciran mata jika berhasrat untuk meraih tiket bersaing dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Kata Guardiola, semua baki tujuh perlawanan EPL dan perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Nottingham Forest bulan depan boleh dianggap sebagai pentas final buat pasukan pada saingan musim ini.
“Saya harap kita dapat meraih kemenangan ketika bertemu Palace nanti. Misi pasukan adalah meraih sekurang-kurangnya 12 mata lagi untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas liga.
“Selepas aksi bertemu Palace, kita akan fokus pada perlawanan menentang Everton selain aksi (separuh akhir) Piala FA bertemu Nottingham Forest dan pemain perlu fokus untuk melakar kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Guardiola memberi bayangan pemain tengah, Matheus Nunes akan terus diberikan peranan untuk beraksi di posisi pertahanan kanan seperti yang telah ditampilkan ketika bertemu Manchester United minggu lalu.
“Saya rasa Nunes ada bakat untuk beraksi di posisi bek kanan kerana memiliki tahap fizikal yang begitu baik. Dia masih lagi dalam proses pembelajaran tetapi saya harap dia dapat gunakan setiap minit permainan yang diberi nanti,” katanya. – AGENSI