LONDON – Pengendali Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo mengesahkan jentera serangan pasukan masih tempang pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Everton di Stadium City Ground malam ini.
Menurut Santo, tiga pemain utama di posisi serangan, Chris Wood, Anthony Elanga dan Taiwo Awoniyi mungkin disisihkan sekali gus memberi tamparan hebat buat pasukan dalam usaha meraih tiga mata berharga.
“Wood masih lagi belum pulih daripada kecederaan yang dialami ketika mewakili New Zealand bulan lalu. Namun, kami masih memantau keadaannya setiap hari kerana dia pemain yang cukup penting buat pasukan.
“Awoniyi pula sebagai penyerang gantian turut mengalami kecederaan berulang baru-baru ini sekali gus menjejaskan perancangan saya dalam usaha membariskan kesebelasan terbaik.
“Mungkin ada pemain yang terpaksa beraksi di posisi bukan kegemaran mereka pada perlawanan bertemu Everton nanti dan harap mereka dapat bantu pasukan meraih kemenangan,” katanya.
Mengulas lanjut, Santo turut mengesahkan pemain bek kiri, Ola Aina masih belum cergas daripada kecederaan yang dialami sebelum ini dan bakal disisihkan nanti.
“Aina juga berdepan masalah yang sama tetapi kecederaannya tidak terlalu serius. Mungkin dia boleh kembali bersama pasukan pada perlawanan minggu depan,” katanya. – AGENSI