SUNGAI SIPUT – Dua lelaki warga Myanmar ditemui maut dipercayai ditikam rakan senegara dalam pergaduhan di sebuah kebun sayur di Jalan RE di sini awal pagi tadi.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintendan Mohd. Rohaizimi Razali berkata, maklumat kejadian diterima daripada majikan sekitar pukul 1.54 pagi.
Katanya, ketika pihak polis tiba di lokasi kejadian, didapati kedua-dua mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di luar rumah pekerja.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga mangsa mabuk sebelum berlaku pergaduhan antara mereka. Suspek dipercayai menikam dua rakannya menggunakan senjata tajam.
“Perbuatan lelaki itu kemudian dimaklumkan sendiri oleh suspek kepada majikannya sebelum dia melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat, ketiga-tiga pekerja itu baru bekerja di kebun sayur tersebut sejak dua bulan lalu dan suspek pula dilantik sebagai mandur
Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.
“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE