PETALING JAYA – Ibu kepada usahawan popular Neelofa, Datin Noor Kartini tampil menafikan dakwaan kononnya rumah tangga sendiri dilanda badai gara-gara hantaran berkaitan isu orang ketiga yang dimuat naik dalam media sosial, baru-baru ini.
Kata Kartini, 58, hantaran tersebut langsung tiada kaitan dengan dirinya, malah hanya bersifat umum hasil pemerhatian terhadap terlalu banyak kisah kecurangan yang berlaku dalam masyarakat hari ini.
“Mungkin orang salah faham, yang saya kata kadang syaitan berupa manusia cuba ganggu kebahagiaan orang itu sebenarnya bukanlah rumah tangga saya.
“Ini tak ada kena mengena dengan saya langsung. Tak ada (penyondol),” tegasnya.
Perkara itu dikongsikan Kartini kepada kenalan rapatnya, Rosix Ahmad yang kemudian memuat naik penjelasan tersebut menerusi Instagram Story.
Tambah ibu kepada kepada 9 anak itu, perkongsian asal bertajuk ‘Penyebab Suami Tawar Hati’ hanyalah pandangan peribadi terhadap gejala runtuhnya institusi perkahwinan akibat campur tangan pihak ketiga.
“Ini adalah kenyataan secara umum, sebab banyak kisah curang. Orang tu sudah bahagia duduk elok-elok, kenapa kau nak pergi kacau?
“Syukur Alhamdulillah sudah hampir 30 tahun saya berkahwin, Allah jaga,” luahnya.
Terdahulu, hantaran Kartini mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen sehingga ada yang mendakwa rumah tangganya sendiri sedang dilanda masalah.
Namun kenyataan tegas itu menjernihkan keadaan sekali gus menepis sebarang gosip tidak berasas yang cuba memburukkan nama baik keluarga usahawan terkenal itu. – KOSMO! ONLINE.