SIAPA sahaja yang tidak mengenali figura bernama Ellie Suriaty, aktres berjiwa kental, pemilik aura luar biasa yang sepanjang tiga dekad lalu menyulam nama dengan persembahan emas dalam setiap kerja seninya.
Jika dicatatkan seluruh karya, pencapaian dan penglibatan seninya, pasti tersusun berjilid-jilid tebal dokumentasi penuh warna dan makna.
Lakonannya bukan sekadar menjadi penyeri menghiburkan bahkan ibarat taufan emosi yang mampu membadai perasaan, sama ada watak si malang sarat air mata hingga ke antagonis paling kejam, semuanya dihidupkan dengan mutu dan tulus penghayatan.
Di pentas teater pemilik nama sebenar Ellie Suriaty Omar itu dihormati, di layar drama dia digeruni, di panggung filem pula diteladani.
Tidak keterlaluan dikatakan, seni yang menjadi darah dagingnya, menghidupkan watak dengan jiwa, menyampaikan rasa dengan nyawa.
Lebih daripada sekadar pelakon, wanita berusia 54 tahun itu juga seorang tenaga pengajar yang disegani.
Puluhan anak seni, dari pelakon hinggalah penyanyi, pernah diasuh dengan sentuhan ilmunya.

Sumbangannya kepada industri tidak terhenti di situ. Beliau antara individu yang dijemput duduk sebagai juri Festival Filem Malaysia (FFM), Anugerah Skrin dan beberapa lagi program seni berprestij, membuktikan kepercayaan dunia seni terhadap kredibilitinya.
Namun, semua pengorbanan tersebut seakan-akan disiat-siat dan dicemuh tanpa belas apabila muncul seorang pempengaruh yang entah dari mana, mempermain dan memperlekeh nama serta maruahnya.
Nama baik serta maruah diri yang selama ini dipelihara dan dijaga rapi, kini dirobek rakus individu terbabit demi mengejar konten tular semata-mata.
Bersandarkan video-video parodi berbaur penghinaan, Imran Bard disifatkan telah memijak nilai dibinanya selama tiga dekad.
Dakwa Ellie, dia mangsa ejekan sehingga kesejahteraannya terganggu, baik rohani mahupun jasmani.

Terpukul dihina
“Peristiwa itu benar-benar buat saya terpukul. Lebih menyakitkan, saya tak pernah kenal dia tapi dia petik nama saya dan beberapa nama besar lain seperti Wan Maimunah dan Fauziah Nawi, mustahil dia tak tahu siapa kami.
“Dia telah meletakkan konotasi negatif kepada saya. Itu biadab. Kurang ajar. Dalam industri ini, kami antara yang membentuk dan mendidik pelakon profesional.
“Di situ sudah jelas kami di liga berbeza dengan pempengaruh. Pada saya, macam tak masuk akal bila dikaitkan nama dan diburuk-burukkan dengan fitnah oleh orang yang entah asal usul dari mana,” katanya kepada HibGlam.
Bagi pelakon filem Khawarij itu, ada beza antara pencipta kandungan dan seniman sejati. Dunia seni berdiri atas nilai, disiplin dan pengiktirafan profesional, bukan sekadar kamera dan suara sumbang dalam media sosial.
“Industri kreatif tak sama dengan dunia media sosial . Kami berdiri atas hierarki, disiplin, ‘craft’ dan profesionalisme. Saya adalah tulang belakang industri. Kalau tak, takkan saya dipilih platform besar untuk bentuk pelapis baharu.
“Bukan ‘level’ dia untuk petik saya. Jadi, pada saya sangat biadab bila seseorang yang saya tak kenal melakukan itu. Tujuannya untuk apa? Saya tak perlu dikaitkan dengan perkara-perkara negatif.
“Ini bukan main-main. Ini fitnah berat. Sudah tentu saya buat laporan polis, rujuk peguam dan buat sidang media. Ini cara profesional menjawab fitnah,” tegasnya.

Kemaafan Syawal
Biarpun disakiti dengan fitnah terbuka, ibu dua anak itu masih membuka pintu kemaafan tetapi waktu semakin suntuk. Jika hingga tamat Syawal tiada juga sebarang tindakan, maka pintu itu akan dikatup rapat.
“Dia ada mesej saya. Kata nak jumpa untuk minta maaf secara tertutup. Saya sudi. Saya kata boleh, sebelum puasa pun boleh. Tapi dia kata dia di kampung. Bila Ramadan, katanya dia balik KL. Tapi sampai sekarang tiada sebarang usaha lanjut.
“Saya tak setuju jumpa tertutup. Saya tak kenal dia. Apa jaminan saya tidak difitnah lagi selepas itu?
“Saya kata ada terma. Boleh jumpa tapi ada syarat. Dia setuju tapi sampai hari ini, tiada apa-apa perkembangan. Tiba-tiba dikatakan isu dah selesai. Bila masa selesai?
“Saya terkejut bila didakwa dah selesai sedangkan saya masih menunggu. Tapi dia viralkan DM. Yang dia tak tunjuk, ialah jawapan saya. Dia kata salam, kemudian viralkan.
Tapi respons saya tak disebut. Itu tidak adil,” katanya.
Bekas isteri aktor Azri Iskandar itu bertegas, dia bagaikan dipaksa menunggu dan mengemis maaf daripada insan yang langsung tidak memperlihatkan keikhlasan.
“Kalau benar-benar ikhlas, datang jumpa. Kenapa minta maaf secara tertutup? Awak malukan saya terbuka. Fitnah saya terbuka. Tapi nak minta maaf, bisik dalam gelap?
“Sampai sekarang tiada tindakan. Dalam erti kata lain, saya rasa dia tak serius pun. Kalau serius, video (viral) tu dah diturunkan. Tapi sekarang dia kaut duit daripada nama saya. Itu sangat zalim.
“Orang kata, memaafkan itu lebih baik. Tapi macam mana nak maafkan kalau orang yang tak datang jumpa pun? Kenapa dia tak guna nama mak ayah dia sendiri? Kenapa nama saya dipetik?
“Kalau dosa dengan Allah boleh solat taubat, kalau dengan manusia? Itu tak boleh selesai sekadar mesej,” tuturnya.
Meskipun kecewa dan terluka, Ellie masih mampu berdoa buat insan yang mencalarkan maruahnya. Jiwa besarnya tidak mati walau dikhianati.
“Saya harap budak tu ada masa depan yang cerah. Ada kerja elok, duit banyak. Sebab saya dah lalui semua ni. Dia belum tentu.
“Hidup dia panjang lagi. Jangan cari makan atas penderitaan orang lain. Jangan kutip rezeki daripada aib ciptaan sendiri. Dunia ini berpusing. Apa yang kita buat hari ini, akan berbalik pada kita nanti,” tutupnya.