SHAH ALAM – “Buka sahaja pintu rumah, air luncur laju masuk”.
Demikian kata mangsa, Siti Zulaikha Sironi, 31, apabila kediamannya di Padang Jawa, di sini ditenggelami air setinggi paras lutut akibat banjir kilat, semalam.
Menurutnya, dia terjaga kira-kira pukul 4 pagi selepas menyedari hujan lebat melanda kawasan itu namun beranggapan akan berhenti dalam tempoh setengah jam kemudian.
“Bila bangun pukul 6 pagi, saya dapati pekarangan rumah telah dinaiki air paras buku lali.
“Limpahan air juga didapati tidak berkurang dan semakin naik sebelum saya dan suami terus mengalihkan sebuah kereta dan dua motosikal ke tempat lebih tinggi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Firdaus Shahak berharap kerajaan menyegerakan pembinaan projek tebatan banjir yang direncanakannya sebelum ini.
Ujar anak jati kampung itu, dia tidak lagi sanggup mengharungi episod sama setiap kali hujan lebat berlaku.
“Saya tidak menafikan pembangunan yang dibuat mana-mana pihak. Cuma berharap setiap projek pembinaan yang dibuat, mesti ada saluran perparitan yang besar bagi membolehkan air mengalir keluar ke sungai,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE