SHAH ALAM – Belum pun reda trauma akibat bah besar pada 2021, penduduk di Taman Sri Muda di sini, kembali dihantui perasaan sama apabila banjir kilat melanda lokaliti mereka semalam.
Hujan lebat secara berterusan bermula pukul 2 pagi itu mengakibatkan air mula memasuki kediaman kira-kira satu jam kemudian dan terus meningkat sehingga paras 0.5 meter pada pukul 9 pagi semalam.
Ini menyebabkan siren amaran banjir dibunyikan lebih 10 kali dengan tinjauan Kosmo! mendapati sejumlah penduduk bergegas keluar membawa kenderaan mereka terutama di Jalan Mantap dan Taman Sri Lembayung.
Seorang penduduk di Taman Mantap di sini, S. Suresh, 32, berkata, dia terjaga daripada tidur selepas dihubungi rakannya yang memaklumkan limpahan air sedang naik dari Alam Impian ke Sri Muda
Katanya, pada awalnya air berada di paras lutut sebelum meningkat sehingga paras pinggang satu jam kemudian.
“Dalam tempoh tersebut, saya cuma fikir untuk bawa keluar keluarga dan kenderaan dahulu. Memang trauma sebab lokaliti ini pernah dilanda banjir besar.
“Memang setiap kali hujan, kami berwaspada terutama terdapat 12 ahli keluarga dalam kediaman. Ada perabot bernilai RM7,000 yang baharu dibeli tidak sempat dipindahkan ke tingkat atas. Memang rugi lagi kali ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Kata jurutera projek sebuah syarikat telekomunikasi itu, dia sekeluarga memilih untuk tinggal di sebuah hotel di Petaling Jaya berbanding di pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagi S. Balakrishnan, 56, dia terpaksa membahagikan tugas dengan isteri untuk membawa dokumen dan kenderaan keluar daripada kediamannya.
Katanya, banjir dianggap sebagai ‘pesta tahunan’ yang tidak dapat dipisahkan dari lokaliti ini.
“Isteri terpaksa menaiki bot pihak berkuasa tempatan bagi membawa keluar dokumen penting,” ujarnya.
Sementara itu, Nurul Ain Solehah Hanim Azhari, 18, berkata, kesan trauma akibat banjir besar sebelum ini membuatkannya sering terjaga sekiranya hujan lebat melanda Sri Muda.
“Selepas itu, saya akan lihat Sungai Sri Muda memandangkan jarak rumah hanya 70 meter.
“Paling risau jika banjir adalah renjatan elektrik. Saya dan ahli keluarga berpindah ke PPS Dewan Azalea, Seksyen 25 sejak pukul 1 tengah hari tadi (semalam) memandangkan jangkaan hujan lagi di sini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Yusni, 51 memberitahu, pengalaman terperangkap selama dua hari di tingkat atas rumahnya sebelum diselamatkan dalam bencana pada 2021 membuatkannya tidak menunggu lama untuk ke PPS.
Tambahnya, dalam peristiwa tersebut dia bersama keluarganya mengambil sikap sambil lewa untuk berpindah kerana yakin banjir akan surut.
“Namun sebaliknya berlaku sehingga tiada bekalan elektrik dan bekalan makanan habis. Cukuplah pengalaman itu, tidak mahu lagi merasainya,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, seorang lelaki ditemui maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian banjir di sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25 di sini semalam.
Katanya, pihak polis menerima laporan kejadian membabitkan warga Sri Lanka berusia 27 tahun pukul 10.51 pagi.
Jelasnya, turut dijumpai, seekor anjing yang mati terkena renjatan elektrik di sisi mayat lelaki.
“Siasatan awal mendapati premis itu merupakan stor yang turut dijadikan tempat tinggal mangsa,” ujarnya.